Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

11.8.09

Adakah hubungan anda sihat??

SEBELUM mengenalpasti jawapan kepada persoalan tersebut sebaiknya berfikir apakah elemen yang patut ada dalam sesebuah perhubungan yang sihat.

Justeru pakar psikologi berpendapat terdapat tujuh kualiti yang menjadi teras sebuah perhubungan yang sihat dan ia adalah seperti berikut:-

1) Rasa hormat - Adakah dia menganggap anda seorang yang cool dan kenapa?

Rasa hormat terhadap satu sama lain dalam satu perhubungan ialah secara asasnya tidak melebihi had dan batas yang tidak disukai oleh pasangan masing-masing. Ertinya sekiranya kita mengetahui tahap kebolehan pasangan tidak seperti yang diharapkan maka jangan jadikan alasan untuk menjatuhkannya. Pilihlah jalan terbaik dengan meninggikan rasa hormat terhadap satu sama lain.

2) Kepercayaan - Tidak mengapa untuk sesekali rasa cemburu tetapi jangan sampai menipu pasangan anda akan sesuatu perkara yang anda telah lakukan. Kepercayaan amat penting dalam satu hubungan kerana menerusi kepercayaan anda boleh melepaskan pasangan kepada dan ke mana sahaja dia mahu pergi. Dan jangan sesekali menggugat kepercayaan diberi kerana anda tidak mungkin lagi mudah mendapat kepercayaan yang amat berharga dari pasangan anda itu. Pasangan yang saling tidak mempercayai adalah tanda perhubungan yang tidak sihat.

3) Kejujuran - Ini perlu seiring dengan kepercayaan. Pernahkah anda menipu pasangan anda, sebagai contoh anda memberitahunya bahawa anda terpaksa bekerja pada malam Jumaat tetapi sebenarnya anda menonton wayang bersama kawan-kawan? Awas , adalah sukar jika anda benar-benar memerlukan kepercayaannya kerana dia telah mempunyai persepsi bahawa anda tidak jujur dalam perhubungan.

4) Sokongan - Sokongan perlu bukan sahaja masa senang tapi juga waktu susah. Ada pasangan yang boleh bahagia bila hidup senang namun tidak apabila terjadi sebaliknya. Dalam perhubungan yang sihat, pasangan harus bersedia menerima dan memberi galakan dalam apa juga perkara yang dirasakan mendatangkan kebaikan kepada mereka.

5) Kesaksamaan - Perhubungan yang baik perlu menerima dan memberi seadanya. Jika anda suka menonton saluran lain sebagai contoh saluran hiburan, tetapi pasangan mahu menonton perlawanan bola sepak yang digemarinya, bolehkah anda beralah? Dalam satu keadaan lain adakah anda boleh bergaul baik dengan rakan pasangan anda atau anda hanya akan seronok jika bertemu rakan anda sendiri? Memanglah lebih seronok bertemu rakan sendiri tetapi bertolak ansurlah supaya dia juga bertimbang rasa jika tiba masanya kelak.

6) Cuba meletakkan diri di tempat si dia - Dalam perhubungan yang sihat masing-masing mestilah berkompromi. Tetapi tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian diri. Anda tetap mempunyai keluarga, rakan, kegemaran dan hobi sendiri dan itu tidak akan berubah. Anda juga berhak menambah minat atau aktiviti baru dalam hidup, berkawan baru dan terus maju ke hadapan.

7) Komunikasi berkesan - Anda mungkin banyak kali mendengar cara percakapan lelaki dan wanita tidak sama dari segi maksud dan bahasa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila pasangan bercakap tidak ada apa-apa, semuanya okay adakah dia benar-benar maksudkan. Sebaiknya berterus teranglah tentang apa yang anda rasa. Gunakan perkataan yang baik, jangan membiarkan emosi menguasai diri. Sebaiknya berfikir sebelum anda bercakap. Jangan memaksa pasangan melakukan sesuatu yang dia tidak mahu.

Bagaimana pula menilai perhubungan yang tidak sihat?

Apabila pasangan di dalam hubungan tersebut tiada lagi rasa hormat, salah seorang terlalu mengongkong dan tindak tanduk yang di luar batasan.

Ada orang yang membesar dalam persekitaran yang tidak sihat, sebagai contoh, dia sering didera atau melihat bapa membelasah ibu sewaktu kecil. Penderaan tersebut merangkumi emosi, kata-kata dan perbuatan. Jadi perkara keganasan nampaknya seperti normal kepada dirinya, tidak sama sekali!

Sifat kebaikan dan hormat adalah kriteria utama untuk perhubungan sihat. Jika anda atau pasangan anda mempunyai latar belakang pahit seperti di atas sebaiknya merubah diri dengan berjumpa pakar psikologi atau terapi. Dalam pada itu jika pasangan bersikap tidak patut terhadap anda, jangan biarkan perkara itu terus berlaku atas nama cinta, kerana perhubungan yang sihat ialah yang harmoni dan tiada penganiayaan dalam apa jua bentuk. Dalam kebanyakan kes penganiayaan perhubungan, pemangsa mungkin akan menjelaskan kepada pasangan bahawa tindakan tersebut dibuat kerana sayang. Sebagai individu yang rasional ketahuilah perhubungan yang membuatkan hati anda terluka tentulah perhubungan yang tidak sihat.

Tiada siapa pun berhak dipukul, dimarah atau dipaksa melakukan sesuatu yang dia tidak mahu.

Tanya diri, adakah pasangan anda...

*marah jika anda tidak dapat meluangkan masa untuknya,

*mengkritik cara anda berpakaian dan bercakap yang anda bertuah kerana dapat memilikinya,

*tidak membenarkan anda bertemu atau bersembang dengan rakan lelaki atau perempuan,

*minta anda berhenti dari aktiviti yang anda gemari dan telah dilakukan selama ini,

*pernah cuba memukul ketika dia sedang marah,

*memaksa melakukan seks dengannya dalam keadaan anda tidak sedia.

Ini cuma beberapa soalan yang anda boleh tanya kepada diri anda sendiri, terdapat banyak lagi cara yang menunjukkan sesebuah perhubungan itu tidak sihat. Jika ini berlaku jangan pendam dan ceritakan kepada rakan karib atau ahli keluarga lain agar mereka tahu dan boleh memastikan anda selamat. Kini terdapat juga badan sukarela yang boleh membantu, jadi ambil inisiatif ke arah hubungan yang lebih sihat.

tips yg baik untuk yg dah kawen..

PERKAHWINAN adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.

Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.

Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab, kewangan dan hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga

"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.

''Malah sikap terbuka dalam hubungan termasuk seks amat penting untuk mengekalkan hubungan."

Demikian menurut Perunding Psikologi dan Klinikal dan ahli fakulti Northwestern University Feinberg School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Huang Wei Jen semasa memberi ceramah mengenai keintiman dan kebahagiaan pasangan dalam melayari rumahtangga.

Katanya, masalah intim dapat dilihat menerusi pelbagai aspek. Ia mungkin di sebabkan oleh masalah psikologi, rohaniah dan kebatinan serta tindak balas fizikal yang membuatkan kita memerlukan hubungan intim dalam perhubungan.

Jelasnya, intim di sini bukan bermaksud melakukan hubungan seksual, tetapi cara berinteraksi dan tindak balas dalam sesebuah perhubungan.

''Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.

Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memainkan peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.

"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan," katanya.

Menurut Wei Jen, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang perlu bagi tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.

''Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan semata-mata tetapi suami harus memberi keutamaan dalam perkara yang lain dalam meneruskan bahtera tersebut.

Bercerita tentang tanggungjawab, suami sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga.

Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumahtangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumahtangga.

Katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang psikologi klinikal, dalam melayari sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan supaya sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami dan sentiasa berbincang antara satu sama lain.

Lebih menarik, dalam meneruskan hubungan, sikap membelai-belai antara satu sama lain perlu diamalkan dalam hubungan suami isteri.

Malah pasangan juga digalakkan untuk berterus terang mengenai semua perkara.

''Sememangnya kita tidak mahu badai besar merempuh rumah tangga kita, oleh itu hanya melalui sikap berterus terang dan bersemuka adalah cara yang paling tepat.

''Berterus teranglah dengan pasangan kita, malah jadikan pasangan kita sebagai kawan karib kita yang boleh berkongsi suka dan duka yang berlaku pada diri kita.

''Apa jua krisis yang dihadapi, harungilah sebagai satu unit dan bukan secara individu,'' katanya.

Malah akuinya lagi, buatlah keputusan bersama dalam meneruskan bahtera perkahwinan.

Tambah Wei Jen, prinsip ini pernah memberi impak yang tinggi dalam rumahtangganya sendiri.

Komitmen yang mempersetujui sesuatu keputusan akan memaksa pasangan untuk bercerita secara mendalam dengan pasangan.

Namun jelasnya, ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif adalah punca menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.

''Oleh itu, kurangkan sikap sering bergaduh, saling tidak mempercayai dan salah sangka antara pasangan,'' ujarnya.

"Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.

"Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan.

''Malah dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati.

''Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia,'' tambahnya.

Jelasnya, hanya melalui perkongsiaan bersama, ia mampu menyelesaikan permasalahan.

''Cuba amalkan sebelum tidur, bercerita dan berkongsi dengan pasangan mengenai kejadian yang berlaku pada diri anda hari ini.

''Pastinya ada komen dan juga pandangan antara satu sama lain, malah ia juga boleh menghangatkan lagi perhubungan tersebut,'' akhiri ceramahnya pada hari itu.

7.4.09

Pneumokokal

Apa itu Pneumokokal?

Pneumokokal berlaku disebabkan jangkitan kuman pneumokokus atau streptokokus pada organ di dalam tubuh. Selepas bakteria pneumokokus menyerang dan ‘menakluki’ saluran pernafasan atas, ia boleh disebarkan secara setempat atau memasuki aliran darah atau cecair serebrospina (csf) dan menyebabkan pelbagai penyakit.

Sekiranya jangkitan berlaku pada bahagian atas salur pernafasan yang menyebabkan bakteremia (jangkitan kuman dalam darah), sepsis (keracunan dalam darah), meningitis (jangkitan bakteria dalam membran tulang belakang atau otak) dan pneumonia.

Jika kuman streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ia menyebabkan pneumonia (radang paru-paru), otitis media akut (radang pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (radang dalam hidung).

Jika ia tidak dirawat atau gagal dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, gangguan pertuturan, lumpuh kecacatan otak dan kadangkala maut.

Gejala (Pelbagai mengikut penyakit)

Agak sukar dikenalpasti kerana gejalanya seperti demam, berasa seram sejuk dan batuk berbeza mengikut jenis penyakit dan tidak khusus. Lazimnya pengesahan dibuat menerusi ujian rapi seperti x-ray atau ujian makmal.

Secara umumnya:
Bakteremia (jangkitan darah) - Demam panas, tidak selesa, jangkitan saluran pernafasan (boleh berlaku atau tidak)
Meningitis - Demam, sakit kepala yang teruk, mual, muntah, cirit-birit, tengkuk menjadi kejang, fotofobia (menjadi sensitif kepada cahaya).
Pneumonia - sawan secara tiba-tiba, pernafasan menjadi cepat dan sukar, sakit dada, menggigil, batuk, demam panas.
Otitis media akut (jangkitan telinga) - Telinga berasa sakit, tidak selesa dan kadangkala mengalami masalah pendengaran seketika.
Sinusitis - Demam, selesema dan batuk.

Cara Sebaran

Bayi baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan pada waktu siang juga mungkin dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitaran pusat jagaan tersebut.

Kuman disebarkan kepada kanak-kanak melalui pelukan dan ciuman oleh ibu bapa atau orang dewasa yang mengalami selsema. Ia kemudian disebarkan kepada kanak-kanak lain melalui bersin atau batuk. Selain kanak-kanak, mereka yang HIV positif dan mempunyai sistem imunisasi lemah seperti perokok dan warga emas turut mudah dijangkiti.