7.4.09

Pneumokokal

Apa itu Pneumokokal?

Pneumokokal berlaku disebabkan jangkitan kuman pneumokokus atau streptokokus pada organ di dalam tubuh. Selepas bakteria pneumokokus menyerang dan ‘menakluki’ saluran pernafasan atas, ia boleh disebarkan secara setempat atau memasuki aliran darah atau cecair serebrospina (csf) dan menyebabkan pelbagai penyakit.

Sekiranya jangkitan berlaku pada bahagian atas salur pernafasan yang menyebabkan bakteremia (jangkitan kuman dalam darah), sepsis (keracunan dalam darah), meningitis (jangkitan bakteria dalam membran tulang belakang atau otak) dan pneumonia.

Jika kuman streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ia menyebabkan pneumonia (radang paru-paru), otitis media akut (radang pada bahagian tengah telinga) dan sinusitis (radang dalam hidung).

Jika ia tidak dirawat atau gagal dirawat, penyakit pneumokokal boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, gangguan pertuturan, lumpuh kecacatan otak dan kadangkala maut.

Gejala (Pelbagai mengikut penyakit)

Agak sukar dikenalpasti kerana gejalanya seperti demam, berasa seram sejuk dan batuk berbeza mengikut jenis penyakit dan tidak khusus. Lazimnya pengesahan dibuat menerusi ujian rapi seperti x-ray atau ujian makmal.

Secara umumnya:
Bakteremia (jangkitan darah) - Demam panas, tidak selesa, jangkitan saluran pernafasan (boleh berlaku atau tidak)
Meningitis - Demam, sakit kepala yang teruk, mual, muntah, cirit-birit, tengkuk menjadi kejang, fotofobia (menjadi sensitif kepada cahaya).
Pneumonia - sawan secara tiba-tiba, pernafasan menjadi cepat dan sukar, sakit dada, menggigil, batuk, demam panas.
Otitis media akut (jangkitan telinga) - Telinga berasa sakit, tidak selesa dan kadangkala mengalami masalah pendengaran seketika.
Sinusitis - Demam, selesema dan batuk.

Cara Sebaran

Bayi baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat penjagaan pada waktu siang juga mungkin dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitaran pusat jagaan tersebut.

Kuman disebarkan kepada kanak-kanak melalui pelukan dan ciuman oleh ibu bapa atau orang dewasa yang mengalami selsema. Ia kemudian disebarkan kepada kanak-kanak lain melalui bersin atau batuk. Selain kanak-kanak, mereka yang HIV positif dan mempunyai sistem imunisasi lemah seperti perokok dan warga emas turut mudah dijangkiti.

No comments: